Thursday, November 11, 2010

TEKS UCAPAN PERSARAAN USTAZAH HAJAH MARIAM


Oleh :MOHAMAD ZULKEFLI BIN ISMAIL
KETUA PELAJAR SMK DATO’ KAMARUDDIN 2010
Bismillahirahmanirahim........
Assalamualaikum w.b.t
Salam sejahtera,salam SEDAKA dan salam satu Malaysia....
Terima kasih kepada tuan pengerusi majlis,yang diraikan,Ustazah Hajah Mariam bt Hj Hashimyang berusaha En Kamal Bin Mansor, Pengetua SMK Dato’ Kamaruddin,yang dihormati En Adnan b Ahmad, YDP PIBG SMK Dato’ Kamaruddin,En Norhan B Mohd Hussain,PK Pentadbiran,Yang En Shahidan B Hashim, PK Hal Ehwal Murid,Pn Hjh Norshidah Bt Mohd Noor,PK Kokurikulum, Yang berusaha,Pn Kamisah Bt Othman,PK Sesi Petang,Tn Hj Shahabuddin B Mohamad,Guru Cemerlang Geografi,guru-guru kanan, guru-guru dan rakan-rakan pelajar yang dikasihi dan di rahmati Allah sekalian.
Syukur ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah kurniaNya, dapat kita berkumpul bagi meraikan majlis persaraan ustazah yang kita sayangi iaitu Ustazah Hajah Mariam.Saya mewakili pelajar mengambil kesempatan pada majlis ini menyampaikan ucapan penghargaan sebagai tanda terima kasih daripada kami. Hari ini bolehlah dianggap sebagai hari terakhir untuk kita dapat bersama-sama dengan ustazah dalam dunia pendidikan secara formal, sebelum beliau meninggalkan SEDAKA secara rasmi selepas ini.Tarikh pada hari ini mungkin menjadi satu kesedihan atau kegembiraan, kami hanya mampu melihat dan tumpang meraikannya.Kami berharap dan mendoakan agar ustazah beroleh kegembiraan dan sentiasa mendoakan kejayaan kami dalam peperiksaan SPM dan STPM.
Ustazah yang kami raikan,guru-guru dan rakan sekalian,
Tujuan majlis ini diadakan bukan sekadar meraikan persaraan ustazah tetapi adalah meraikan jasa beliau yang telah banyak berpenat lelah,menyumbangkan bakti sepanjang berkhidmat di sekolah ini. Majlis ini juga diadakan sebagai medan untuk beramah mesra sesama kita dan melunaskan rasa rindu kepada ustazah sebelum beliau pergi meninggalkan sekolah ini.Segala usaha yang dicurahkan oleh beliau untuk mengajar kita tidak terbalas dengan wang ringgit dan harta benda kerana beliau begitu komited dalam mengajar dan mendidik kita.Komitmen beliau ini membuktikan bahawa beliau begitu mengambil berat dan kasih kepada kita . Sifat beliau yang keibuan menjadikan beliau mudah disenangi oleh semua pelajar.Walaupun ketika marah, beliau tetap mampu memberikan senyuman menandakan beliau seorang yang penyayang.Sikap beliau yang penyayang ini juga membuatkan saya agak rapat dengannya.Untuk pengetahuan hadirin, saya sudah lama mengenali ustazah sebelum saya belajar di sekolah ini.Hal ini kerana, saya dan ustazah merupakan ahli kariah yang sama iaitu ahli kariah Kampung Batu 14.Saya tinggal di Kampung Batu 14,manakala ustazah tinggal bersebelahan dengan kampung saya,iaitu kampung Sungai Akar.
Selain itu sikap beliau yang pemurah, yang suka memberi sumbangan terutama dari segi kewangan kepada anak-anak yatim membuatkan beliau sentiasa disanjungi dan dihormati oleh semua warga SEDAKA.Beliau juga seorang yang gigih, walaupun mengalami kesulitan dalam perkara tertentu.
Saya selaku ketua pelajar mewakili rakan-rakan pelajar ingin memohon maaf sekiranya ada terkasar bahasa, tingakah laku yang tidak sopan dan perkara yang tidak menyenangkan diri ustazah.Sekali lagi, kami berharap agar ustazah tidak melupakan kami disini dan mendoakan kejayaan kami di dunia dan juga di akhirat.
Mengakhiri ucapan kami ucapakan selamat bersara,moga selepas ini ustazah dapat meluangkan lebih masa bersama keluarga tercinta.Sebelum mengundur diri izinkan saya membaca serangkap pantun,
Bunga mawar dalam jambangan,
Campur sedikit haru melati,
Budi puan jadi kenangan,
Tersemat kukuh dalam hati.
Sekian,terima kasih.


<!--[if !supportLineBreakNewLine]-->
<!--[endif]-->

0 comments:

Post a Comment

 

welcome dude=) Copyright © 2008 Black Brown Art Template designed by Ipiet's Blogger Template